Wednesday, September 03, 2008

PENYELIDIK UTP HASILKAN PLASTIK LARUT AIR!


TRONOH 2 Sept. - Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini berjaya mencipta produk baru dinamakan Greenphylic iaitu plastik larut air yang mesra alam sekitar.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik UTP, Profesor Dr. J. Ramiah berkata, penemuan plastik larut air itu akan menyelesaikan masalah untuk menguraikan plastik yang digunakan sebelum ini.

Katanya, keistimewaan produk yang dihasilkan menggunakan bahan polimer sintetik yang diperbuat daripada Polyvinyl Alcohol (PVA) larut air itu tidak memerlukan masa sehingga 100 tahun untuk diuraikan seperti plastik biasa.

Menurutnya, bahan yang diperbuat daripada campuran PVA 225 keluaran syarikat Kuraray Inc. Jepun itu telah membuktikan produk baru ini bersifat mesra alam serta menjimatkan kos dalam pembuatan dan pelupusannya.

Ramiah memberitahu pemberita di sini baru-baru ini, penemuan baru itu juga langsung tiada kos pelupusan kerana sifatnya yang mudah larut apabila direndam di dalam air.

Di samping itu, ujar beliau, pihaknya turut mempunyai formula bagi memastikan hasil ciptaan itu tidak membebankan pengguna disebabkan sifatnya yang larut air.

"Kita akan pastikan produk ini hanya terlarut apabila tiba waktunya dan bukan semasa ia digunakan," katanya,

Ramiah berkata, beberapa ujian kejuruteraan telah dijalankan dalam penghasilan produk itu dan ia melepasi titik pencairan, ujian regangan dan ketegangan serta kelarutan di dalam air.

Melalui ujian itu, kumpulan penyelidik juga mendapati Greenphylic mempunyai tahap larut air yang tinggi dan mampu menahan tahap kepanasan sehingga ke tahap 200 darjah celcius.

Produk yang kini sedang melalui proses paten itu bakal menyaksikan Petronas bangkit sebagai gergasi yang membangunkan industri Greenphylic yang akan menggantikan penggunaan plastik di dunia.

Greenpylic dihasilkan menerusi kajian bersama enam penyelidik lain di UTP iaitu Hasam Mahmoud Gamal Eldin, Mohammad Faizal Che Daud, Ahmad Ridhwan Hassan, Mohd. Anuar Sulaiman, Nordiana Khalil dan Norhidayah Usop.

0 comments: